
LAHAD DATU: Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) terus menjadi bukti keprihatinan kerajaan dalam memastikan rakyat berpendapatan rendah memiliki tempat tinggal yang selesa dan selamat.
Di Parlimen Lahad Datu sahaja, sebanyak 40 buah rumah baharu dan 168 projek baik pulih rumah telah disalurkan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan.
Antara agensi pelaksana utama ialah Giat MARA Sabah, yang bukan sahaja membina kediaman berkenaan, malah turut menyerahkan kunci kepada penerima yang layak.
Penerima rumah, Mohammad Herman Shah Sabar, melahirkan rasa syukur apabila impiannya untuk memiliki tempat berteduh akhirnya menjadi kenyataan.
“Saya berterima kasih kepada Menteri Zahid, Timbalan Perdana Menteri Luar Bandar. Saya amat bersyukur kerana permohonan rumah saya diterima. Sekurang-kurangnya kini saya ada tempat berteduh,” katanya.
Bagi Moris Payeng, pekerja kebun yang sudah lebih 30 tahun mencari rezeki di sektor sawit, pemberian rumah tersebut amat bermakna buat keluarganya yang terdiri daripada enam orang.
“Keadaan rumah sebelum ini agak teruk, tapi sekarang syukur rumah sudah dibagi. Terima kasih kepada semua pihak,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Pios Payeng, turut menzahirkan rasa gembira kerana tidak lagi perlu menumpang di rumah saudara.
“Bolehlah kami anak-beranak berteduh di rumah sendiri. Saya berpuas hati dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu,” katanya.
Menurut Pengarah Giat MARA Sabah, Azizudin A. Aziz, pelaksanaan projek di Lahad Datu dilakukan mengikut spesifikasi dan pelan yang telah diluluskan bagi memastikan mutu kerja terbaik.
“Sebagai pelaksana Giat MARA daripada KKDW, kami melaksanakan kira-kira 40 bina baru dan 168 baik pulih untuk Parlimen Lahad Datu. Segala pembinaan dibuat mengikut plan yang telah diluluskan,” jelasnya.
Turut hadir dalam lawatan penyerahan rumah tersebut ialah Pegawai Tugas Khas kepada Menteri KKDW, Datuk Maizatul Akmam Ahmad Alawi, dan Ketua UMNO Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul.