
KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga besar mendiang Fredolin Jominoh, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Papar yang meninggal dunia di Kampung Rampazan, Papar.
Dalam kenyataan hari ini, PPNS menyifatkan pemergian mendiang pada 16 September lalu sebagai kehilangan besar kepada komuniti peladang di Sabah dan juga daerah itu, khususnya kerana peranan dan jasa beliau yang begitu besar dalam memperjuangkan kebajikan peladang serta pembangunan sektor pertanian.
“Mendiang Fredolin dikenali sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, sentiasa turun padang mendengar masalah ahli peladang dan mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama.
“Beliau juga berperanan memperkukuh hubungan antara peladang dengan pihak berkuasa bagi memastikan setiap dasar kerajaan dapat dilaksanakan di peringkat akar umbi,” kata Pengerusi PPNS, Datuk Mohd Nazri Abdullah.
Tambahnya, Pengerusi bersama semua ahli Jemaah Pengarah PPNS turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mendiang dan ahli-ahli peladang di Papar atas kehilangan besar itu.
Sepanjang kepimpinannya di PPK Papar, mendiang dilihat sebagai individu yang tegas, berwawasan dan berpandangan jauh, selain sentiasa berusaha membuka ruang serta peluang kepada ahli-ahli peladang meningkatkan taraf hidup melalui program dan inisiatif pertanian moden.
Mendiang Fredolin juga merupakan abang sepupu kepada Mohd Nazri Abdullah daripada sebelah ibu beliau.
Mohd Nazri bersama isteri serta seluruh keluarga turut menzahirkan ucapan takziah dan doa agar keluarga mendiang diberi kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat dukacita ini.
“Semoga segala urusan keluarga mendiang dipermudahkan dan roh beliau mendapat kedamaian abadi,” katanya.