
KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menyita dua buah kapal dan merampas 250,000 liter minyak diesel bernilai lebih RM45 juta dalam serbuan terhadap aktiviti penyelewangan minyak di perairan Kota Kinabalu, hari in
Menurut kenyataan PPM Wilayah 4 Sabah, rampasan berkenaan adalah hasil daripada risikan dan pemantauan selama hampir sebulan lalu.
“Operasi yang dijalankan pada 31 Julai lebih kurang 4.30 pagi melibatkan kerjasama secara bersepadu (intra agensi) antara PPM Wilayah 4, bersama Kastam, KPDNHEP dan Jabatan Laut bagi membenteras kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi.
“Dalam operasi ini, serbuan dilakukan ke atas dua buah kapal dan kita telah menahan enam lelaki terdiri daripada warga tempatan berumur dalam lingkungan 25 tahun hingga 43 tahun merupakan krew kapal.
“Kita turut menemui Minyak Diesel dengan anggaran kuantiti keseluruhan berjumlah 250,000 liter disyaki digunakan untuk kegiatan penyelewengan, “katanya.
Menurut kenyataan itu, selain Minyak diesel, turut dirampas dua buah kapal beserta peralatan lain dan beberapa dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.
“Hasil maklumat, dipercayai kedua-dua kapal ini aktif menjalankan kegiatan transaksi Minyak Diesel bersubsidi secara haram kepada pelbagai vassel di perairan Kota Kinabalu.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM45,590,150,” katanya.
Untuk rekod, sejak bulan Januari hingga bulan Jun tahun ini, PPM Sabah telah merekodkan 119 kes penyelewengan bahan api petrol dan diesel membabitkan rampasan bernilai lebih RM81 juta.
“Dalam tempoh itu, PPM Sabah telah menahan 135 individu disyaki dalang kegiatan ini.
“PPM Wilayah 4 Sabah, sentiasa mengalu-alukan maklumat dan kerjasama daripada seluruh komuniti orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.