
KOTA KINABALU : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah terus memperketat kawalan perairan dan daratan apabila berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak bersubsidi dalam operasi serentak di Sandakan dan Semporna, malam kelmarin.
Operasi bermula sekitar jam 8 malam itu menyaksikan dua lelaki warga tempatan diberkas di kawasan Jalan Cecily, Sibuga, Sandakan bersama sebuah lori tangki, Toyota Hilux serta dua skid tank yang dipercayai digunakan untuk menyeleweng minyak diesel bersubsidi.
Sementara itu, di kawasan laut berhampiran Pulau Omadal dan Tanjung Pantau-Pantau, Semporna, seorang lelaki warga asing pula berjaya ditahan ketika cuba menyeludup minyak petrol ke negara jiran.
Hasil serbuan di kedua-dua lokasi berasingan itu, polis merampas 5,400 liter minyak diesel serta 51 jerekin berisi petrol dengan nilai keseluruhan mencecah RM482,672.25.

Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihaknya akan terus mempergiatkan usaha membanteras aktiviti penyeludupan minyak bersubsidi yang merugikan negara.
“PPM Wilayah 4 sentiasa mengalu-alukan maklumat serta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang aktiviti mencurigakan. Komitmen kami adalah memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Rampasan dan kejayaan ini sekali lagi membuktikan ketegasan PPM Wilayah 4 dalam mengekang jenayah rentas sempadan di Pantai Timur Sabah.