
KOTA KINABALU: Sabah berada di landasan tepat untuk menjadi Hab Perikanan Laut Dalam terunggul di rantau ini susulan pelbagai kelebihan strategik yang dimilikinya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Menurutnya, negeri ini bukan sahaja berada di laluan migrasi tuna antarabangsa, bahkan turut memiliki pelabuhan semula jadi yang terlindung dan berdekatan dengan negara pengeluar utama seperti Indonesia, Filipina dan Papua New Guinea.
“Kita memiliki segala prasyarat – dari segi lokasi, sumber, infrastruktur dan sokongan dasar – untuk memacu Sabah sebagai pusat pendaratan, pemprosesan dan pengeksportan hasil laut dalam berpiawaian antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan Petco Trading Labuan Company Ltd serta Memorandum Perjanjian (MoA) antara DBKK dan Alpha Ocean Resources Berhad (AORB), di Pacific Sutera Harbour pada Rabu.
Katanya, menerusi MoA itu, AORB akan melabur RM360 juta bagi membangunkan sebuah Pelabuhan Bertaraf Kesatuan Eropah (EU) khusus untuk pendaratan ikan tuna dan hasil laut dalam di Kota Kinabalu.
Menurutnya, projek itu dijangka siap dalam tempoh 18 bulan dan akan mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan merentasi rantaian nilai industri.
“Pelabuhan ini akan mematuhi piawaian ketat EU termasuk Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP), sistem kebolehjejakan, pemantauan Illegal, Unreported and Unregulated (IUU) dan keselamatan makanan menyeluruh.
“Dengan kemudahan ini, kita boleh tembusi pasaran eksport premium yang selama ini terbatas akibat ketiadaan fasiliti yang sesuai,” tegas Hajiji.
Beliau berkata, penyertaan Malaysia dalam Western & Central Pacific Fisheries Commission (WCPFC) bakal membolehkan pelabuhan baharu ini menjadi pusat pendaratan sah bagi kapal penangkap ikan berdaftar dari serata dunia.