
SEMPORNA : Pondok KAFA Kampung Look Kubang di Pulau Bum-Bum, Semporna, yang mula beroperasi sejak tahun 2020, kini menjadi nadi pendidikan agama percuma kepada masyarakat pulau.
Madrasah ini menempatkan seramai 30 orang pelajar dan dikendalikan oleh dua orang guru yang komited memberi pengajaran secara berterusan.
Menurut Ustaz Mohd Zaini Salawat, Pengasas Madrasah ini,sejak penubuhannya, pondok ini telah menerima pelbagai bentuk bantuan yang membantu kelangsungan operasi dan pembelajaran pelajar, antaranya daripada Baitul Mal Negeri Sabah dan program CSR PolyCC Negeri Sabah.
Madrasah juga telah didaftarkan di bawah JAKIM sebagai KAFA, menjadikan kurikulum dan pentadbiran selaras dengan garis panduan pihak berkuasa agama.
Selain bantuan rasmi, sumbangan rakan-rakan dan dermawan setempat turut menyokong keperluan harian dan kelengkapan pembelajaran.
Objektif utama Pondok KAFA Kampung Look Kubang adalah menyediakan akses pendidikan agama secara percuma kepada anak-anak pulau yang kurang berkemampuan.
Selain itu, premis madrasah turut dirancang akan digunakan kelak sebagai tempat bagi anak-anak yatim piatu, memberi perlindungan dan peluang pendidikan yang berterusan kepada mereka.
Pengurusan pondok mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan dan sokongan sama ada dalam bentuk kewangan, pakaian, bahan bacaan agama, atau khidmat sukarelawan,bagi memastikan program pengajian dan aktiviti kebajikan dapat diteruskan dan diperluaskan.
Mereka juga berharap lebih banyak pihak akan tampil membantu untuk memperkasa usaha pendidikan agama di pulau-pulau sekitar Semporna.