
BEAUFORT : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan arak selepas merampas 5,136 tin minuman keras tidak bercukai yang ditemui dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah stor di daerah ini.
Dalam operasi khas Op Taring Landai pada jam 9 pagi semalam, sepasukan anggota PPM menahan seorang lelaki yang memandu Toyota Hilux sarat dengan muatan minuman keras seludup pelbagai jenama. Suspek dipercayai bertindak sebagai runner atau pembekal bagi pasaran gelap tempatan.
Hasil tangkapan itu membawa kepada serbuan ke atas sebuah lot kedai yang dijadikan stor penyimpanan barang seludup. Pemeriksaan menemukan ribuan tin arak tidak bercukai yang dipercayai untuk diedarkan di sekitar Beaufort dan kawasan sekitarnya.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM174,250.90 dan kes kini disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
“PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti jenayah, khususnya penyeludupan barangan kontraban. Kami komited membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.
Rampasan berkenaan sekali gus mematahkan salah satu rangkaian pengedaran arak seludup yang cuba menguasai pasaran gelap di Sabah.