
SANDAKAN : Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, Wilayah 4 Sabah, berjaya merampas sebanyak 79,000 batang rokok seludup bernilai hampir RM95,000 dalam satu operasi di Kampung Combo Laut, semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, operasi dijalankan sekitar jam 3.05 petang hasil risikan yang membawa kepada penemuan sebuah rumah di perkampungan atas air dijadikan stor penyimpanan rokok tidak bercukai.
“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 79,000 batang rokok pelbagai jenama dengan nilai rampasan dianggarkan RM94,800. Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, PPM tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan ekonomi negara serta kesejahteraan masyarakat.
“PPM Wilayah 4 Sabah juga mengalu-alukan maklumat daripada orang awam bagi membantu membanteras aktiviti penyeludupan di kawasan perairan,” katanya.