
KOTA KINABALU : Polis Marin Wilayah 4 Sabah merampas lebih 52,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stor di Kampung Kibabaig, malam tadi.
Serbuan jam 10.30 malam itu hasil risikan Unit Risik Marin bersama UNGGERIN yang mendapati premis berkenaan dijadikan lokasi simpanan dan pemindahan minyak secara haram.
Lima lelaki tempatan berusia 22 hingga 42 tahun ditahan, manakala beberapa kenderaan yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan turut dirampas. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM571,057.50.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihaknya komited membanteras kegiatan penyelewengan bahan bakar subsidi.
Katanya, kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi menyalurkan maklumat agar aktiviti penyeludupan dapat terus dibanteras demi keselamatan dan kesejahteraan negara.