
TAWAU : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan satu kegiatan penyelewengan minyak subsidi selepas menyerbu sebuah stor di Kampung Pasir, Tawau yang dijadikan lokasi penyimpanan dan pemindahan bahan berkenaan.
Operasi dijalankan sekitar jam 10.30 malam hasil maklumat dan risikan Unit Risikan Marin, membawa kepada penahanan enam individu lima warga tempatan dan seorang warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan mendapati stor tersebut menyimpan sejumlah besar bahan api bersama beberapa peralatan dan kenderaan yang digunakan untuk tujuan penyelewengan.
“Dalam operasi itu, pasukan turut merampas sebuah lori tangki, tiga buah kenderaan, satu skid tank, tiga tangki fiber serta kira-kira 14,000 liter minyak diesel dipercayai untuk dijual secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk minyak dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM615,920, dan kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurut Mohd Nazri, kejayaan itu hasil tindakan pantas risikan marin dan kerjasama berterusan pasukan di lapangan dalam membanteras penyeludupan serta penyelewengan hasil negara, khususnya di kawasan strategik Sabah.
“PPM Wilayah 4 akan terus mempertingkat rondaan dan operasi bagi mengekang aktiviti penyelewengan minyak subsidi yang memberi kesan besar kepada ekonomi negara.
“Kami menyeru masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi tindakan segera,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen Polis Marin dalam memastikan keselamatan perairan Sabah terus terjamin melalui risikan bersepadu dan operasi berterusan di kawasan daratan serta perairan utama negeri ini.