
LAHAD DATU : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelwengan minyak sawit mentah selepas menyerbu sebuah gudang di kawasan Lahad Datu yang dijadikan tempat penyimpanan dan pemindahan bahan itu.
Dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 4 petang, hasil maklumat risikan Unit Risikan Marin, polis menahan tiga individu seorang warga tempatan dan dua warga asing yang disyaki terbabit dalam kegiatan tersebut.
Turut dirampas dalam serbuan berkenaan ialah dua lori treler, enam tangki treler/IBC, serta 33,040 liter minyak sawit mentah yang dipercayai disimpan untuk tujuan penyelwengan.
Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM2.38 juta.
Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Sawit Malaysia 2005 untuk tindakan lanjut.
“Pasukan Polis Marin akan terus komited dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelwengan hasil negara, khususnya di kawasan perairan serta kawasan strategik di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nazri turut mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan yang melanggar undang-undang.
“Kami sentiasa menggalakkan orang awam tampil membantu membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” ujarnya.