SANDAKAN : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Sabah (JPNS) berjaya menggagalkan kegiatan mencuri kulit kayu tangar dalam satu operasi di kawasan hutan bakau sekitar Sungai Terusan Duyung, Sandakan, semalam.
Dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 2.30 petang itu, pihak berkuasa mengesan tapak pencerobohan dan menemui 20 ikatan kulit kayu tangar yang telah siap diikat, dipercayai dicuri daripada kira-kira 180 batang pokok.
Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM70,000.
“Kes kini disiasat di bawah Enakmen Perhutanan 1968. Pasukan Polis Marin akan terus komited dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan hasil negara, khususnya di kawasan perairan dan lokasi strategik di Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut menyeru masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti haram seperti ini bagi membantu pihak berkuasa melindungi hasil hutan negara.
PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan bahawa operasi bersepadu bersama agensi berkaitan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.
