
TAWAU: Polis sedang mengesan seorang wanita yang dipercayai menyampaikan ucapan berbaur hasutan ketika menghadiri himpunan Justice For Zara di daerah ini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima tiga laporan polis daripada orang awam berhubung kejadian itu pada Isnin.
“Laporan dibuat berkaitan kenyataan dikeluarkan wanita berkenaan. Susulan itu polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini polis masih berusaha mengesan suspek yang sudah dikenal pasti, selain beberapa saksi lain bagi membantu siasatan. Belum ada tangkapan dibuat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial Facebook satu rakaman video berdurasi 27 saat memaparkan seorang wanita menyampaikan ucapan dipercayai berbaur hasutan semasa himpunan berkenaan.
Ucapan itu antaranya menyebut nama Tuan Yang Terutama Negeri Sabah, Tun Musa Aman.