
Lahad Datu : Polis sedang giat mengesan suspek utama kes pembuangan bayi lelaki cukup sifat yang ditemui masih bernyawa di sebuah kebun sawit, Kampung Sri Aman, Jalan Silam, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Haji Dzulbaharin Haji Ismail, berkata bayi itu dijumpai sekitar jam 8 pagi sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk menerima rawatan lanjut.
Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Damsa bin Dahlan di talian 089-881255 atau melaporkan ke mana-mana balai polis terdekat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, pihaknya komited memastikan suspek kes terbabit segera dikesan bagi melengkapkan siasatan.