KUNAK : Perikatan Nasional (PN) hari ini secara rasmi melancarkan jentera pilihan raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) yang dijangka berlangsung bulan ini.
Ketua Penyelaras PN Kunak, Kasman Karate, 41, berkata pendekatan yang dibawa oleh parti adalah politik yang berasaskan perpaduan, kedamaian dan penyelesaian masalah rakyat.
“Kami terapkan nilai yang baik dalam politik. Kami menyokong politik yang membina dan menyatukan rakyat, bukan politik maki hamun atau permusuhan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Kunak, pada Sabtu.
Tambahnya, rakyat harus diberi kebebasan menentukan wakil rakyat yang mereka mahukan tanpa tekanan atau sentimen politik keterlaluan.
“Rakyat berhak memilih siapa wakil rakyat yang mereka mahu. Selepas 29 November ini, siapa sahaja calon dan parti mana yang menang di sini, itu adalah proses pilihan raya. Kita mahu politik yang baik dan matang,” ujarnya.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim, yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
Dalam majlis berkenaan, Datuk Awang menyerahkan bendera rasmi Perikatan Nasional (PN) kepada Kasman sebagai simbolik pelancaran jentera pilihan raya kawasan tersebut.
Kasman turut memaklumkan bahawa nama calon PN bagi kerusi DUN Kunak akan diumumkan selewat-lewatnya pada 11 November ini, iaitu beberapa hari sebelum hari penamaan calon yang dijadualkan pada 15 November.
Beliau menegaskan PN Kunak kini berada dalam kesiapsiagaan penuh untuk menghadapi PRN Sabah dan yakin mampu menawarkan calon yang berwibawa serta diterima semua lapisan masyarakat.
