
KOTA KINABALU: Parti Perikatan Nasional (PN) digesa untuk tidak terlalu yakin terhadap mukadimah politik dicanangkan kerana ia secara langsung memperlihatkan pihak pembangkang itu cuba menjadi tuan atau MASTER kepada sistem politik di negeri Sabah.
Presiden Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, merujuk kepada pergerakan kempen Kasi Bagus Sabah dikelolakan mereka, ia ternyata mencanang perkara bongkak dan sombong seolah-olah pentadbiran kerajaan sekarang tidak berbuat apa-apa.
Jelasnya, pengumuman Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam program di Tawau semalam ternyata cuba memesongkan fakta selain mengadu domba sahaja bermodalkan kritikan terhadap Presiden GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Inilah contoh politik tidak sihat daripada pembangkang terutamanya PN yang hanya tahu mengadu domba sahaja tanpa memperjelaskan isu sebenar.
“Ia juga memperlihatkan sikap sebenar mereka cuba berlagak MASTER atau tuan kepada Sabah, cuba mendominasi politik kita dengan strategi hasutan sebegini, “katanya, dalam kenyataan medianya hari ini.
Terdahulu, semalam dalam ucapan Hamzah di program PN Kasi Bagus Sabah, beliau secara terbuka mengkritik Hajiji selaku Ketua Menteri yang gagal mentadbir sambil mengaitkannya dengan isu tatakelola bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, dalam sidang media bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan sedang meneliti kemungkinan membentuk gabungan bersama parti-parti tempatan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) yang dijadualkan berlangsung tahun ini.
Ia adalah susulan daripada kenyataan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendedahkan pihaknya menolak sebarang gabungan termasuklah PN selain berhasrat bertanding di kesemua 73 kerusi DUN pada PRN akan datang.
Mengulas mengenai perkara itu, Najib Tay berkata perkembangan terbaharu tersebut menunjukkan parti-parti tempatan pembangkang pun menyedari helah daripada PN yang cuba menjadi Tuan di Sabah.
“Jika WARISAN pun menolak, apa lagi parti-parti yang lain?
“Ini menunjukkan mereka tidak relevan lagi di Sabah kerana sudah terbukti mereka mahu menjadi Tuan atau MASTER sebagaimana yang pernah ditunjukkan ketika memerintah pentadbiran negara,” katanya.
Deasoka