SANDAKAN : Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan dua kerusi yang akan ditandingi di daerah Sandakan bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU DU) iaitu Gum-Gum dan Karamunting sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan di negeri itu.
Pengumuman penuh calon dijangka dibuat pada 9 atau 10 November ini oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata rundingan pembahagian kerusi dengan Barisan Nasional (BN) telah dimuktamadkan, manakala dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya tinggal satu kerusi lagi yang masih belum diputuskan.
Menurut beliau, Sandakan akan menjadi antara kawasan tumpuan PKR dalam usaha memperkukuh suara rakyat di peringkat negeri dan pusat.
“Alhamdulillah, setakat ini kita dapat dua kerusi iaitu Gum-Gum dan juga Karamunting. Jadi saya harap kepada semua supaya bersetuju dan bersepakat untuk Pakatan Harapan.
Kita tidak mahu banyak dua ini pun cukup untuk kita, satu mewakili Bumiputera Islam dan satu lagi untuk suku kaum Tionghoa,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Harapan Urang Sabah di Batu 8, Sandakan.
Pada pilihan raya yang lalu, kerusi Gum-Gum dimenangi Arunarnsin Taib daripada Parti Warisan, manakala kerusi Karamunting dimenangi Datuk George Hiew Vun Zin, yang kini bersama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Dengan pengesahan PKR ini, penyandang kerusi Karamunting dijangka tidak dapat mempertahankan kedudukannya susulan pengagihan kerusi dalam gabungan kerajaan.
“Apa yang penting, kita mahu ada dua wakil Perdana Menteri di sini satu di Gum-Gum dan satu lagi di Karamunting.
Mereka akan mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memahami agenda reformasi serta transformasi dalam Kerajaan Madani yang akan kita bawa ke Sabah,” jelas Mustapha.
PKR yakin kedua-dua kerusi ini mampu dimenangi, namun tidak menolak kemungkinan berlaku pelarasan saat akhir sebelum pengumuman rasmi calon minggu hadapan.
