
LAHAD DATU : Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menegaskan komitmen mereka untuk mengelakkan pertindihan kerusi dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, apa yang lebih utama ketika ini ialah mengekalkan prinsip persahabatan serta kesepaduan dalam Kerajaan Madani.
“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak BN, tetapi daripada Pakatan Harapan khususnya PKR, kita sudah menjalin kerjasama politik dengan BN.
“Kita juga mengalu-alukan kesediaan GRS untuk bersama dan akan memulakan sesi rundingan dengan mereka,bagi pihak PKR, kita mahu kerusi yang ditandingi tidak bertindih dengan BN atau GRS,namun itu terpulang kepada BN dan GRS sendiri.
“Pendekatan kita ialah mengekalkan kesepaduan Kerajaan Madani supaya tidak berlaku pertembungan sesama sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama malam tadi.
Sementara itu, Mustapha juga memaklumkan bahawa PKR Sabah akan meletakkan calon sekurang-kurangnya di lima kerusi DUN di Pantai Timur Sabah termasuk DUN Segama.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Bendahari Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Negeri Sabah, Datuk Nordin Ening dan Ketua Cabang PKR Silam, Romansa Lamin.