
RANAU :Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) menegaskan kesediaannya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.38 Paginatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, sekali gus menolak dakwaan bahawa parti itu hanya sekadar proksi kepada mana-mana pihak.
Calon PKDM bagi DUN berkenaan, Datuk Rusdin Riman, berkata kesiapsiagaan parti diterjemahkan menerusi penubuhan jentera pilihan raya yang sudah lengkap di peringkat akar umbi.
“Penyerahan watikah pelantikan kepada jentera bukan sekadar simbolik, tetapi tanda amanah besar yang dipikul. Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan yang mantap demi memastikan kemenangan,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Perpaduan PKDM N.38 Paginatan di Dewan Kampung Lohan 1, Ranau.
Mengulas mengenai pendekatan parti, Rusdin menegaskan PKDM akan berdepan pesaing politik secara berakhlak tanpa menggunakan fitnah atau perbalahan.
“Kita gunakan konsep 3A, iaitu Asah untuk menajamkan pemikiran, Asih sebagai tanda kasih sayang, dan Asuh sebagai bimbingan. Inilah yang membezakan PKDM dengan parti lain,” katanya.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa PKDM adalah parti proksi, sebaliknya menegaskan parti itu sah ditubuhkan mengikut Perlembagaan dan komited untuk bertanding pada PRN ke-17.
“Kalau benar kami parti proksi, tiada gunanya PKDM diwujudkan. Walaupun baru setahun jagung, jiwa perjuangan dalam parti ini sudah lama tertanam,” jelasnya.
Program itu turut dihadiri Timbalan Presiden PKDM yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda.