
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan bahawa Pilhan Raya Negeri-17 (PRN17) akan datang akan menjadi penyertaan terakhirnya dalam politik.
Selepas lebih 35 tahun bergiat dalam arena politik, Hajiji berkata beliau tidak pernah menyangka akan diberikan mandat sebagai pemimpin nombor satu negeri itu.
Katanya, beliau sudah menyampaikan perkara itu kepada pengundi di kawasannya.
“Saya bagitahu orang-orang saya di Sulaman, ini terakhir saya ikut pilihan raya ini,” jelasnya.
Tambahnya lagi, selepas ini biarlah generasi baharu pula yang meneruskan perjuangan.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membuat pengumuman itu ketika berucap sewaktu merasmikan Dewan DSP Haji Hajiji serta majlis persaraan guru besar, di Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung, Tuaran, hari ini.
Beliau menegaskan, keputusan itu dibuat bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan memberi ruang kepada pelapis baharu dalam politik negeri.