
SIPITANG: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Sindumin menegaskan pendirian bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N35 Sindumin mesti kekal ditandingi oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 akan datang.
Setiausaha PGRS Bahagian Sindumin, Alfred Bin Daniel @ Stanley, berkata keputusan itu dibuat sebulat suara dalam mesyuarat bahagian itu semalam melibatkan pemimpin, ahli jawatankuasa serta mendapat sokongan seluruh ahli PGRS Sindumin.
” Kami berdiri teguh menyatakan bahawa kerusi DUN N35 Sindumin mesti ditandingi oleh GRS tanpa sebarang kompromi atau campur tangan luar,”katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat itu juga secara sebulat suara menyokong Datuk Dr Yusof Yacob (DDYY) sebagai calon GRS bagi kerusi tersebut, berdasarkan rekod cemerlang dan komitmen beliau terhadap kepentingan rakyat setempat.
” DDYY telah membuktikan kepimpinan yang berjiwa rakyat dan sentiasa mendahulukan komuniti Sindumin. Kami yakin beliau adalah calon terbaik untuk meneruskan kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik di kawasan ini,” katanya.
Menurut Alfred, akar umbi PGRS Bahagian Sindumin menolak sebarang percubaan membawa calon luar atau parti lain untuk bertanding di kerusi berkenaan.
” Sindumin bukan medan percubaan. Akar umbi sudah lama bersama GRS dan kami akan pertahankan kerusi ini habis-habisan,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa PGRS Bahagian Sindumin kekal bersatu, tidak goyah dan tidak akan berundur dalam perjuangan mempertahankan hak GRS di DUN N35.
” Ini keputusan akar umbi, ini suara rakyat Sindumin,” tambahnya.