SEMPORNA: Pasukan Cawangan Risik dan Task Force Perisikan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am Kunak berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan bahan api selepas merampas 80 gelen disyaki berisi minyak petrol dalam satu operasi khas di Kampung Batu, di sini, petang Sabtu.
Operasi Intra dan Inter Agensi dikenali sebagai OP Taring Bravo 1 itu dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Semporna pada jam kira kira 5.45 petang di sebuah premis tidak bernombor.
Hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot kayu di lokasi kejadian membawa kepada penemuan 80 gelen disyaki mengandungi minyak petrol yang dipercayai untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran.
Susulan penemuan tersebut, seorang lelaki warga asing telah ditahan bagi membantu siasatan.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas sebuah bot kayu, dua unit enjin sangkut serta beberapa peralatan bot. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM67,000.
Kes tangkapan dan rampasan itu kemudiannya diserahkan kepada pihak KPDN Semporna untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan.
Pihak polis menegaskan bahawa Task Force Perisikan Batalion 22 PGA akan terus mempergiatkan operasi dan risikan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta jenayah rentas sempadan di kawasan perairan dan pesisir pantai Sabah.
