Sempena menyambut kedatangan Tahun Baharu, inilah masanya untuk kita bermuhasabah dan memperbaharui tekad. Permulaan tahun yang baharu sering dilihat sebagai peluang untuk menilai pencapaian dan cabaran yang telah dilalui, di samping merangka azam serta perancangan demi mencapai tahun yang lebih baik dan bermakna.
Saya menyeru Kerajaan Negeri agar terus komited dalam usaha mencapai pembangunan sosioekonomi yang mampan dan inklusif. Tumpuan hendaklah diberikan kepada pemerkasaan infrastruktur, penyelesaian isu-isu berlarutan yang dihadapi negeri, serta peningkatan kebajikan dan kualiti hidup rakyat Sabah.
Dalam masa yang sama, Sabah perlu terus menarik pelaburan berkualiti dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan. Pembangunan sektor-sektor utama seperti perkilangan, pelancongan dan pertanian hendaklah dipertingkatkan lagi bagi mewujudkan peluang pekerjaan, mengukuhkan ekonomi serta menjamin kemakmuran jangka panjang negeri ini.
Sesungguhnya, perpaduan merupakan kekuatan terbesar kita. Kepelbagaian agama dan etnik di Sabah adalah satu anugerah yang perlu dihargai dan dipelihara. Sehubungan itu, saya menyeru golongan yang lebih bernasib baik agar menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, khususnya golongan rentan dan kurang berkemampuan dalam masyarakat. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada anggota pasukan keselamatan negara yang sanggup berjauhan daripada keluarga demi berkhidmat mempertahankan sempadan serta memelihara keselamatan dan kedaulatan negeri dan negara. Pengorbanan serta dedikasi mereka amatlah dihargai dan akan sentiasa dikenang.
Semoga Tahun Baharu ini membawa kemajuan, kemakmuran, keamanan dan keharmonian yang berterusan kepada Malaysia secara keseluruhan, dan khususnya kepada negeri Sabah. Dengan usaha bersama, kebijaksanaan serta semangat perpaduan yang utuh, saya yakin kita mampu melangkah ke hadapan menuju masa depan yang lebih cerah.
Selamat Tahun Baharu dan salam sejahtera kepada semua.
