
KOTA KINABALU: Nilai perpaduan yang dititikberatkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menjadi asas kepada kejayaan agenda pembangunan Sabah, termasuk pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah, berkata rakyat perlu sentiasa menyuburkan rasa syukur atas segala bentuk usaha kerajaan demi kesejahteraan negeri, kerana hanya dengan kesatuan hati, kestabilan politik dapat dikekalkan.
“Induk kepada segala bentuk kejayaan adalah nilai perpaduan. Dengan kita bersatu hati, kestabilan politik pasti akan terbentuk. Natijahnya ialah kita akan mencapai wawasan Sabah Maju Jaya – menjadikan Sabah tanah air kita sebuah wilayah yang berdaulat, bermaruah, makmur dan berjaya,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Maulid Rasul SAW, hari ini.
Aksyah yang juga mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, berkata perpaduan yang dibina akan musnah sekiranya rakyat mudah terpedaya dengan berita palsu, fitnah atau tindakan mengadu domba yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap pemimpin dan kerajaan.
“Perilaku sebegini adalah suatu dosa besar dan larangan yang amat berat, sebagaimana sudah diingatkan oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, setiap daripada kita perlu berhati-hati dan bijak menapis segala maklumat yang sampai kepada kita,” katanya.
Beliau menegaskan, dunia hari ini yang disifatkan sebagai “akhir zaman” oleh Rasulullah SAW sendiri, mendedahkan masyarakat kepada pelbagai bentuk ujian termasuk ledakan maklumat di hujung jari yang menuntut kebijaksanaan untuk menilai kebenaran.
Aksyah menegaskan, umat Islam perlu mengambil iktibar daripada kepimpinan Rasulullah SAW di Madinah, yang bukan sahaja memimpin umat Islam, tetapi juga pelbagai kaum, bangsa dan agama dengan menekankan keharmonian serta perpaduan.
“Inilah antara intipati yang diharapkan oleh Pemimpin Ummat kita, Rasulullah SAW. Baginda memimpin masyarakat majmuk dengan menekankan perpaduan dari kepelbagaian latar belakang rakyatnya. Nilai ini harus kita jadikan panduan dalam konteks Sabah yang berbilang kaum,” katanya.
Menurutnya, sekiranya nilai perpaduan dan hormat-menghormati terus dijunjung, Sabah berpotensi muncul sebagai sebuah Wilayah Madani sejajar dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Percayalah, kita tidak boleh dipecah-belahkan dan dihancurkan oleh sesiapa, melainkan ia berlaku dari dalam diri kita sendiri,” tegasnya.
Aksyah turut menegaskan bahawa ajaran Rasulullah SAW menekankan pentingnya umat Islam sentiasa bersyukur atas nikmat Allah, menjaga keharmonian serta berusaha memperbaiki diri termasuk dari segi ekonomi dan kehidupan.
“Dalam konteks masyarakat majmuk di Sabah, rakyat harus menyuburkan rasa syukur dengan menyokong usaha kerajaan negeri yang mahukan yang terbaik untuk rakyatnya. Dengan cara itu, kita bukan sahaja memelihara perpaduan, tetapi turut meningkatkan taraf kehidupan bersama,” katanya.
Aksyah turut menyeru rakyat agar menyambut Maulid Rasul SAW dengan menghayati falsafah tersirat di sebalik sambutan ini, bukan sekadar acara ritual semata-mata.
“Selamat menyambut Hari Kelahiran Pemimpin kita, Nabi Muhammad SAW. Perkara terpenting ialah kita perlu memahami dan menghayati falsafah di sebalik sambutan ini agar rakyat Sabah terus menjadi umat yang mengikuti ajaran Baginda SAW. Dengan itu, bangsa Sabah akan sentiasa dihormati dan suara kita didengari,” katanya.