
TAWAU : Perikatan Nasional (PN) sedang meneliti kemungkinan membentuk gabungan bersama parti-parti tempatan Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) yang dijadualkan berlangsung tahun ini.
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbincangan dengan beberapa pihak sedang giat dijalankan sebagai sebahagian daripada strategi parti itu untuk membentuk kerajaan negeri.
“Kita belum lagi buat keputusan, kita sedang mengatur strategi, kita sedang bincang dengan banyak pihak. Kita tak umum apa-apa, tapi pastinya ada keperluan untuk membentuk satu gabungan yang mantap supaya boleh memudahkan kita membentuk kerajaan di peringkat negeri Sabah. Pertemuan tak payah kita umumkan, rahsia… itu strategi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PN akan membentuk gabungan bersama Parti Warisan (Warisan) pada PRN17.
Muhyiddin turut menegaskan, PN berhasrat membentuk kerajaan negeri Sabah bersama mana-mana parti tempatan yang bersedia bekerjasama dengan mereka.
“Kita akan halusi, itu soal strategi yang disebutkan oleh Datuk Hamzah tadi. Hasrat kami kalau boleh, kita bentuk kerajaan negeri bersama mana-mana pihak yang sesuai dan mahu bekerjasama dengan kita.
“Berkaitan logo, setakat ini kita masih kekalkan. Kita tak akan tukar dahulu, mungkin di masa hadapan itu kita tengok nanti. Logo ini sudah diterima baik oleh hampir seluruh rakyat di seluruh negara,” katanya lagi.
Beliau ditemui media selepas menghadiri Program Jelajah Rakyat 2025 di Tawau pada Jumaat.
Kira-kira 3,000 penduduk sekitar daerah Tawau hadir bersama barisan pimpinan utama PN dari Semenanjung dan Sabah. Tawau menjadi lokasi ketujuh Program Jelajah Rakyat 2025 selepas Sepanggar, Kudat, Libaran, Sipitang, Batu Sapi dan Beaufort.