
LAHAD DATU: Empat lelaki termasuk seorang warga asing ditahan dalam operasi khas serentak Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah yang dijalankan di Menumbok, Lahad Datu dan Semporna, kelmarin.
Operasi bermula kira-kira jam 6.05 petang itu berjaya menumpaskan cubaan menyeleweng serta menyeludup pelbagai barangan bernilai keseluruhan RM326,664.50.
Di Lahad Datu, seorang lelaki tempatan diberkas di kawasan Tungku bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang membawa enam tong drum berisi minyak diesel bersubsidi.
Di Semporna, seorang warga asing pula ditahan di perairan Gelam-Gelam selepas cuba menyeludup keluar 104 jerekin berisi petrol ke negara jiran. Dalam serbuan berasingan di kawasan laut Kampung Lumanggas, PPM turut merampas 42,000 batang rokok pelbagai jenama daripada sebuah pumpbot.
Sementara itu, di Menumbok, seorang lelaki tempatan ditahan kerana membawa masuk 100 karton minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai menggunakan sebuah kenderaan.
Komander PPM Wilayah 4, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, kesemua rampasan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.
“PPM Wilayah 4 akan terus komited membanteras aktiviti penyeludupan dan pada masa sama mengalu-alukan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.