
LAHAD DATU : Seorang penunggang motosikal maut manakala pembonceng cedera parah selepas motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motokar di Kilometer 80, Jalan Lahad Datu–Tungku (Felda Sahabat 4), petang semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, mangsa berusia 21 tahun, warganegara Filipina, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah. Pemboncengnya, lelaki berumur 19 tahun yang juga warganegara Filipina, mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah MPV Perodua Alza dipandu lelaki tempatan berusia 49 tahun dari arah Tungku menuju Cenderawasih, manakala motosikal Honda EX5 yang ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal tersebut dipercayai terjatuh dan terseret ke lorong bertentangan sebelum dirempuh MPV berkenaan. Akibat pelanggaran itu, penunggang dan pembonceng terjatuh berhampiran garisan berkembar,” katanya.
Menurut beliau, sebuah Proton Saga dipandu lelaki warga Indonesia berusia 37 tahun dari arah Tungku yang berada di belakang MPV berkenaan turut melanggar motosikal tersebut sehingga terseret ke bahu kanan jalan. Kedua-dua pemandu motokar tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis meminta saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu. ACP Dzulbaharin turut mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang demi keselamatan bersama.