TAWAU : Seorang penolong pengurus besar sebuah syarikat perlombongan emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Tawau hari ini atas empat pertuduhan menerima wang berjumlah keseluruhan RM230,000 yang dipercayai hasil daripada aktiviti haram antara tahun 2021 hingga 2023.
Tertuduh, Brando Pang Tze Chiang, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Brando didakwa menerima masing-masing RM55,000 dan RM40,000 daripada akaun Kedai Emas Sri Hawa ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya di Cawangan Damansara Utama antara 17 April 2021 hingga 28 Oktober 2021, serta 5 Mei 2022 hingga 2 Februari 2023.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa menerima RM75,000 dan RM60,000 ke dalam akaun Hong Leong Bank miliknya di Cawangan Tawau, Sabah, dalam tempoh 17 April 2021 hingga 28 Oktober 2021, serta 6 Mei 2022 hingga 2 Februari 2023.
Kesemua wang berkenaan dipercayai hasil daripada aktiviti haram yang dipindahkan daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Kedai Emas Sri Hawa (Nombor Pendaftaran 201203115233/CA0185325-P).
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi, manakala tertuduh diwakili peguam bela Vivian Thien Shin Ying.
Mahkamah menetapkan 2 Disember 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.
