TAWAU : Seorang penolong pengurus besar sebuah syarikat perlombongan emas di Bukit Mantri, Tawau, berdepan empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Tawau hari ini selepas didakwa melakukan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM230,000 antara tahun 2021 hingga 2023.
Tertuduh, Brando Pang Tze Chiang, 50, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Don Stiwin Malanjum, namun tiada pengakuan direkodkan.
Bagi pertuduhan pertama, Brando didakwa menerima wang berjumlah RM75,000 daripada akaun Kedai Emas Sri Hawa ke dalam akaun Hong Leong Bank miliknya antara 17 April 2021 hingga 28 Oktober 2021 di cawangan Tawau.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima RM55,000 daripada akaun sama ke dalam akaun Public Bank miliknya pada tarikh yang sama di cawangan Damansara Utama, Selangor.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima RM60,000 daripada akaun Kedai Emas Sri Hawa ke dalam akaun Hong Leong Bank miliknya antara 6 Mei 2022 hingga 2 Februari 2023 di Tawau.
Manakala pertuduhan keempat menyatakan tertuduh menerima RM40,000 daripada akaun sama ke dalam akaun Public Bank miliknya antara 5 Mei 2022 hingga 2 Februari 2023 di cawangan Damansara Utama.
Kesemua transaksi tersebut dipercayai dilakukan tanpa pengetahuan pihak pengurusan syarikat perlombongan tempat tertuduh bekerja, yang dilaporkan mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM20 juta akibat perbuatannya.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Thahih Afendi, manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela Vivian Thien Shin Ying.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 30 Oktober 2025 di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Tawau.
