KOTA KINABALU: Penjemanaan semula beberapa kementerian dalam Kabinet baharu Sabah adalah bukti komitmen kerajaan memaju pembangunan negeri seiring perubahan dunia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Dato Sri Ghulam Haidar Khan Bahadar, menyifatkan langkah memperluaskan skop dan memodenkan portfolio itu, sebagai memenuhi tuntutan global yang kini mencabar.
Antara paling menonjol ialah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi & Inovasi; Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan & Ekonomi Kreatif; dan Kementerian Wanita, Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat.
Katanya, perubahan berkenaan mampu melahirkan pelapis kepemimpinan dan membina generasi yang mampu membawa Sabah meluncur maju.
“Di sinilah Kumpulan Yayasan Sabah menjadi rakan strategik, menjadi penyatu dan pendukung, mencapai matlamat tersebut.
“Hubungan rapat kementerian terbabit pastinya memperkasakan lagi peranan Kumpulan Yayasan Sabah dalam agenda pendidikan, program kesihatan dan inisiatif kesejahteraan rakyat,” katanya.
Berucap membahas Belanjawan 2026 di DUN, Ghulam turut berkongsi harapan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor, dalam mencari penyelesaian terbaik berhubung isu hak 40 peratus hasil negeri.
“Hubungan baik Ketua Menteri dengan Putrajaya, khususnya Perdana Menteri, memberi keyakinan kepada kita semua, bahawa isu hak 40 peratus hasil negeri, akan lebih mudah dileraikan.
“Pendirian kerajaan juga jelas, menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak Perlembagaan Sabah berhubung Pemberian Khas 40 peratus di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Menurutnya, mekanisme yang sedang diusahakan tentu akan berjalan lebih lancar kerana hubungan erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Beliau turut sependapat dengan beberapa ADUN lain supaya seboleh-bolehnya tiada lagi rayuan dibuat oleh Kerajaan Pusat.
Dalam pada itu, Ghulam turut mengangkat beberapa isu di kawasan Kawang untuk ditangani oleh kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.
Antaranya keperluan menaik taraf sistem saluran paip air lama di Kinarut, menyediakan peruntukan khas dalam Bajet 2026 untuk menaik taraf rangkaian paip di kawasan penting.
Isu kedua ialah cadangan menyelesaikan masalah banjir di kawasan sekitar DUN Kawang, dengan menyediakan pelan induk perparitan menyeluruh.
