
LAHAD DATU : Lebih 50 peserta menyertai Kursus Intensif Pengurusan Jenazah Wanita 2025 anjuran Biro Khairat Kematian Masjid Nurul Aman (MNA) yang berlangsung hari ini, selaras dengan tema ‘Mati Itu Pasti’.
Program bermula dengan ucapan Pengerusi Biro Khairat Kematian, Haji Mohd Ridzal Haji Abdullah yang melahirkan rasa syukur atas sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Beliau menekankan kepentingan memuliakan para guru dan mengamalkan ilmu yang diperoleh demi manfaat bersama.
“Program ini bukan sahaja memberi pendedahan secara teori, malah turut menyediakan latihan amali supaya peserta benar-benar memahami dan dapat melaksanakan kaedah pengurusan jenazah mengikut tuntutan syarak,” katanya.
Pengerusi Masjid Nurul Aman, Dr Haji Mohammad Ayub Haji Yaakub pula mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan kursus ini sambil menegaskan kepentingan umat Islam mempelajari ilmu pengurusan jenazah agar mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut apabila diperlukan.
Beliau turut menggalakkan peserta mempraktikkan ilmu yang diperoleh daripada tenaga pengajar berpengalaman.
Turut hadir Setiausaha MNA, Arsani Alam; Penolong Setiausaha MNA, Amin Amat; Bendahari MNA, Haji Noorham Hamid; Pengerusi Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan MNA, Haji Halim Mohd. Djuda; Timbalan Pengerusi Biro Khairat, Al Fadil Ustaz Haji Mohd Yunus Abu; Penolong Setiausaha Biro Khairat, Hajah Hasma Andi Mapa; serta Pengerusi Biro Muslimah dan Keluarga, Hajah Annie Yusuf.
Wakil PERKESO turut hadir memberi penerangan mengenai kepentingan mencarum sebagai persediaan menghadapi sebarang musibah pada masa depan.
Program ini mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk dermawan, sukarelawan dan masyarakat setempat yang menyumbang masa, tenaga dan kewangan demi kelancaran penganjurannya.