 
        PUTATAN: Pengundi berdaftar di negeri ini terutama komuniti Parlimen Putatan serta Tanjung Keramat digalakkan menunai tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi pada 29 November hadapan.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, meskipun kecenderungan undi itu merupakan salah satu elemen demokrasi yang diikuti oleh semua penduduk di negara ini, namun demikian faktor kerajaan mempunyai keupayaan mentadbir secara stabil, kesejahteraan dan trek rekod yang baik, perlu juga dipertimbangkan.
Sehubungan itu, menurut beliau, penilaian terhadap faktor berkenaan mampu memberi jaminan kepada kelangsungan sesebuah kerajaan yang selama ini merakyat, mendahului ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Sudah tentu, pada bulan ini kita menyaksikan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) berlangsung di Sabah.
“Pesan saya, terutama pengundi berdaftar di Putatan dan Tanjung Keramat secara amnya, tunaikanlah kewajiban anda untuk keluar mengundi.
“Pilihlah wakil rakyat yang memberikan perkhidmatan trek rekod cemerlang dan juga membawa kepada kesejahteraan serta kestabilan politik di Sabah.
“Ini kerana, kita mahu keadaan (kerajaan) yang stabil, kita dapat pacu kemakmuran dan kesejahteraan di bandar-bandar, negeri kita, “katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Talenttime Evergreen Songs Komuniti Madani Tg Keramat Putatan di Dataran Tomoi, pada Sabtu.
Sementara, mengulas mengenai program tersebut, Shahelmey berkata, acara seumpama itu berpotensi menjadi sebuah platform yang ideal melahirkan bakat-bakat seni melibatkan komuniti di Tanjung Keramat dan Putatan.
Tambahnya, program anjuran JKDB, JKKK dengan kerjasama Pejabat Parlimen P 173 Putatan itu juga memberikan satu pendekatan holistik merapatkan hubungan di antara masyarakat setempat dari semasa ke semasa.

 
         
         
         
         
         
        