
default
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyambut baik pengiktirafan Kinabatangan sebagai Rizab Biosfera di bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB) UNESCO.
Pengiktirafan berprestij ini diumumkan semasa Sesi ke-37 Majlis Penyelarasan Antarabangsa Program Man and the Biosphere (MAB) (ICC) yang diadakan pada 27 September di Hangzhou, China.
Beliau berkata pengiktirafan ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan negeri untuk memelihara kelestarian alam sekitar dan biodiversiti di peringkat global.
Ketua Menteri turut berkata bahawa dengan status bertaraf dunia ini, Rizab Biosfera Kinabatangan dijangka menarik perhatian dunia dalam bidang penyelidikan, pendidikan,pelancongan berasaskan alam semula jadi serta peluang kerjasama global.
“Kerajaan Negeri Sabah akan terus memperkukuhkan usaha pemuliharaan biodiversiti, memperluas program kesedaran masyarakat serta meningkatkan kerjasama strategik bagi memastikan manfaat daripada pengiktirafan ini dapat dinikmati secara meluas dan mampan,” tambahnya di sini hari ini.
Hajiji berkata Jemaah Menteri Negeri Sabah telah meluluskan hasrat untuk mencalonkan Kinabatangan sebagai Rizab Biosfera pada 30 Mac 2022, dan dokumen pencalonan tersebut telah diluluskan pada 7 Ogos 2024.
Proses pemilihan yang berlangsung selama dua tahun, dari 2022 hingga 2024, diketuai oleh Pusat Biodiversiti Sabah dengan kerjasama strategik pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak industri serta komuniti tempatan.
Dengan pengiktirafan ini, Kinabatangan kini menjadi Rizab Biosfera kedua di Sabah selepas Rizab Biosfera Banjaran Crocker, dan yang keempat di Malaysia.
UNESCO secara rasmi mengiktiraf Rizab Biosfera Banjaran Crocker pada 12 Jun 2014. Sehingga kini, terdapat 759 Rizab Biosfera di 136 negara di seluruh dunia.
Pengiktirafan tersebut dibuat berdasarkan penilaian terhadap ekologi unik Kinabatangan, kekayaan biodiversiti serta amalan pengurusan mampan yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan di kawasan berkenaan.
Selain itu, Jawatankuasa Penasihat MAB UNESCO yang menjalankan penilaian awa memuji kualiti tinggi dokumen pencalonan tersebut,penyampaian maklumat yang jelas serta penglibatan meluas pihak berkepentingan melalui proses rundingan selama 22 bulan.
Rizab Biosfera Kinabatangan meliputi kawasan seluas 413,866 hektar dan merupakan khazanah semula jadi yang kaya dengan biodiversiti unik serta warisan budaya yang tidak ternilai.
Meregang sejauh 560 kilometer di sepanjang Sungai Kinabatangan, kawasan ini menjadi habitat penting bagi 315 spesies burung, 100 spesies reptilia, 33 spesies amfibia, 127 spesies mamalia, dan lebih daripada 1,000 spesies tumbuhan vaskular.
Kawasan ini juga merupakan habitat bagi beberapa spesies endemik, jarang ditemui dan terancam seperti orang utan (Pongo pygmaeus), gajah Borneo (Elephas maximus borneensis), monyet probosis (Nasalis larvatus), beruang matahari (Helarctos malayanus), harimau dahan (Neofelis diardi), serta lapan spesies burung enggang yang asli Sabah.
Menariknya, pengiktirafan Rizab Biosfera Kinabatangan turut menyokong usaha pemeliharaan dialek Sungai, yang kini disenaraikan sebagai Sangat Terancam dalam Atlas Bahasa Dunia yang Terancam UNESCO.