
LAHAD DATU : Seorang penganggur bertindak licik menggunakan beg penghantar makanan antara tiga lelaki tempatan yang dicekup polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pemilikan cecair dan serbuk ketum dalam satu operasi di Kampung Sapagaya, Jalan Silam, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu kira-kira jam 11.20 pagi.
“Hasil pemeriksaan, polis berjaya menemui 52 liter cecair ketum, empat kilogram serbuk ketum, sembilan botol ubat batuk dengan jumlah keseluruhan 900 mililiter, selain pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memproses ketum.
Pemeriksaan lanjut terhadap sebuah motorsikal yang sedang parkir dihadapan rumah tersebut, motorsikal jenis Yamaha Ego Avantiz berwarna Ungu mendapati terdapat sebuah beg berwarna merah jambu bertulis Foodpanda yang diletakkan di belakang tempat duduk motorsikal tersebut.
Hasil pemeriksaan didalam beg warna merah jambu bertulis Foodpanda tersebut telah menjumpai sembilan botol ubat batuk jenama Dynadryl Syrup berisipadu 100 ml setiap satu.
“Anggaran keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM2,260,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, semua suspek berusia 21 hingga 31 tahun itu ditahan dan akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Jika sabit kesalahan, katanya, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga empat tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
“Polis daerah Lahad Datu akan terus komited dalam memerangi jenayah dadah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.