
KENINGAU: Penantian lebih empat dekad akhirnya berakhir buat penduduk Kampung Labak Baru dan Kampung Sasaie, Bingkor apabila mereka kini memiliki dewan terbuka baharu yang dibangunkan melalui peruntukan khas Kementerian Kewangan.
Majlis penyerahan rasmi kemudahan itu disempurnakan Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Keningau, Rafie Robert, yang hadir mewakili Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri merangkap ADUN Bingkor, Datuk Robert Tawik.
Dalam ucapannya, Rafie berkata, pembinaan dewan terbuka ini merupakan satu keperluan asas bagi masyarakat setempat yang sekian lama menanti ruang serba guna lebih selesa dan kondusif.
“Dewan ini bukan sahaja menjadi tempat berhimpun bagi majlis rasmi dan mesyuarat, malah akan menjadi pusat aktiviti masyarakat, belia, kebudayaan serta majlis keramaian penduduk kampung,” katanya.
Selain Kampung Labak Baru, majlis sama turut diadakan di Kampung Sasaie yang sebelum ini menunggu lebih 40 tahun untuk memiliki kemudahan serupa bagi kegunaan bersama komuniti setempat.
Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan pembangunan rakyat dilaksanakan secara adil dan menyeluruh.
Projek ini juga selaras dengan aspirasi Pelan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) serta hala tuju “Bingkor Membangun Bersama Rakyat”.
Menurut Rafie, kejayaan menyiapkan projek ini mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan negeri, wakil rakyat serta komuniti tempatan dalam menjayakan agenda pembangunan luar bandar.
“Dengan adanya kemudahan ini, kita berharap lebih banyak program dapat dilaksanakan bagi memperkukuh perpaduan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Bingkor,” katanya.