
KENINGAU: Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Etnik Kujau Gana Nabai Sabah (KGNS), Haji Yazid Hasnan Tawik @ Charles, mengecam keras tindakan penganjur program politik Parti Warisan di Sin On, Tawau, Sabtu lalu, yang didakwa menayangkan montaj berunsur penghinaan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Beliau merujuk kepada paparan montaj yang kini tular di media sosial, dipercayai ditayangkan ketika program politik berkenaan, yang memperlihatkan karikatur TYT Sabah.
Menurut Yazid, tindakan tersebut jelas tidak beradab, biadab serta mencerminkan kejahilan politik pihak terbabit yang seolah-olah tidak menghormati institusi tertinggi negeri.
“Perbuatan seperti ini jelas menunjukkan sikap pemimpin Parti Warisan yang buta undang-undang dan sering membelakangkan prinsip perundangan serta adab politik berhemah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, institusi TYT adalah lambang perpaduan, kestabilan dan kedaulatan negeri, justeru ia wajib dipertahankan daripada dicemari oleh sebarang tindakan tidak bertanggungjawab.
Yazid turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) segera menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak penganjur dan individu yang terbabit dalam penyediaan montaj tersebut.
Katanya, kebebasan berpolitik tidak boleh dijadikan alasan untuk memperlekeh atau menghina institusi negeri, apatah lagi yang menjadi simbol perpaduan dan kestabilan rakyat Sabah.
“Kita boleh berbeza pandangan politik, tetapi jangan sampai hilang adab dan rasa hormat terhadap institusi yang menjadi payung negeri ini,” tegasnya.