
SANDAKAN : Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah menahan dua individu dalam kes berasingan semalam membabitkan kesalahan pemalsuan maklumat dan pemilikan dokumen pengenalan palsu.
Dalam kes pertama, seorang wanita warganegara Malaysia, Zaliha Hassan, 46, ditahan di sebuah restoran selepas disyaki bersubahat memberikan maklumat palsu sebagai penganjur bagi permohonan kad pengenalan.
Siasatan mendapati individu yang dimohonkan dokumen tersebut bukan anak kandungnya.
Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Di Mahkamah Majistret Sandakan, tertuduh mengaku bersalah di hadapan Yong Ching Hong sebelum dijatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM7,000. Kegagalan membayar denda boleh membawa hukuman penjara tambahan enam bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Risal Abd Fikkah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam kes kedua, seorang lelaki bukan warganegara, Alex Alki, 61, diserahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSK) JPN Sabah selepas disyaki memiliki kad pengenalan palsu.
Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
JPN Sabah menyeru orang awam menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri seperti penggunaan dokumen milik orang lain, kecurian identiti atau pemilikan dokumen palsu melalui emel admin_bsksabah@jpn.gov.my atau hadir terus ke pejabat. Segala maklumat dijamin dirahsiakan dan dikendalikan secara profesional.
Pihak JPN menegaskan komitmen membanteras sebarang bentuk penyelewengan dan pemalsuan dokumen demi menjaga keselamatan serta integriti sistem pendaftaran negara.