
KOTA KINABALU: Penubuhan Pemikir Muda Ketua Menteri merupakan ‘laluan pintas’ untuk belia Sabah terlibat di dalam penggubalan dasar dan polisi pembangunan kerajaan.
Menurut Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan platform yang bakal dipelopori oleh golongan intelektual anak muda Sabah itu akan memainkan peranan sebagai pengkaji dan penasihat kepada Ketua Menteri dalam penggubalan dasar dan polisi pembangunan belia Sabah.
“Jurang komunikasi dan kekurangan saluran rasmi untuk belia dalam pembentukan dasar sebelum ini menyebabkan dasar sedia ada dilihat kurang relevan dengan keperluan generasi baharu.
“Anak muda sering merasakan pandangan mereka hanya didengar di forum, tetapi jarang diangkat secara terus untuk membentuk dasar dan perancangan negeri.
“Akibatnya, dasar sedia ada berisiko menjadi kurang relevan dengan keperluan sebenar generasi baharu.
“Penubuhan Pemikir Muda Ketua Menteri menyediakan platform saluran terus kepada kepimpinan tertinggi negeri.
“Ini bukan sekadar tempat untuk bersuara, tetapi mekanisme rasmi untuk setiap kritikan, cadangan, dan idea inovatif anak muda diperhalusi dan diterjemahkan menjadi dokumen dasar yang nyata.
“Ia memberikan rasa pemilikan kepada belia dalam hala tuju negeri di bawah kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ)”, ujar Abqaree dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada masa sama, mengulas mengenai penubuhan Majlis Tindakan Belia Sabah (MTBS) yang turut diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah pada Sabtu, Abqaree berkata badan itu memainkan peranan penting bagi menyelesaikan menyelesaikan isu pertindihan program, kekurangan koordinasi dan ketidakberkesanan program pembangunan belia secara menyeluruh.
“Sebelum ini walaupun terdapat banyak usaha dari pelbagai agensi dan NGO belia, pelaksanaan program sering kali bersifat ‘ad hoc’ dan kurang bersepadu.
“Ini mengakibatkan sumber terpecah dan gagal untuk mencapai kelompok belia secara inklusif, terutamanya dalam menangani isu kebolehpasaran pekerjaan dan kemahiran.
“MTBS akan berfungsi sebagai badan pelaksana dan penyelarasan yang inklusif. Inilah payung yang diperlukan untuk menyatukan semua inisiatif pembangunan belia di bawah satu gerak kerja yang berorientasikan impak.
“Dengan ini, kita dapat memastikan setiap program latihan kemahiran, keusahawanan, dan kesejahteraan belia diagih dan dilaksanakan secara strategik, dari bandar hinggalah ke kawasan pedalaman”, Abqaree menambah.
Pada Sabtu lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan dua inisiatif baharu iaitu Pemikir Muda Ketua Menteri dan MTBS bagi menambahbaik dan meningkatkan inklusiviti program pembangunan belia di negeri itu.