
MEROTAI : Parti Harapan Rakyat Sabah akan menangung kos rawatan pemeriksaan tahap kesihatan serta suntikan vaksin kepada ‘Bayi Malang’ selepas ditinggalkan akibat kedua-dua ibubapanya ditahan berkaitan masalah dokumentasi.
Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, beliau sangat menghormati perundangan negara, namun membabitkan hal perikemanusiaan begitu dititikberatkan harus diberikan kepada bayi yang belum mengerti apa-apa.
Katanya, bayi perempuan berusia tiga bulan ini perlu menerima rawatan rapi termasuk pemeriksaan tahap kesihatan serta suntikan vaksin bayi secara berkala.
“Saya bersedia tanggung kos perubatan untuk anak malang ini. Bayi terpaksa ‘berpisah’ selepas ibu bapanya ditahan ekoran masalah dokumentasi.
“Niat awal hanya untuk ziarah dan berkongsi barangan keperluan bayi, namun sedikit berubah apabila mendapati bayi ini mungkin tidak pernah mendapatkan rawatan kesihatan yang sewajarnya,” katanya di sini hari ini.
Liew berkata, beliau sudah menghubungi sebuah klinik pakar bayi untuk meminta pandangan berkaitan terhadap rawatan yang perlu dilakukan kepada bayi berkenaan.
“Saya sudah meminta pihak klinik pakar ini melakukan pemeriksaan secara rapi tahap kesihatan bayi ini.
“Jika perlu menerima suntikan vaksin bayi, mereka harus melaksanakan….Saya bersedia menanggung kos perubatan untuk anak malang ini,” jelas Liew.