
Kota Kinabalu : Memandangkan tempoh lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 akan berakhir, saya telah menghadap Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah pada pagi ini untuk menasihatkan pembubaran DUN Sabah.
Dengan perkenan Tuan Yang Terutama Tun, Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 akan dibubarkan berkuat kuasa hari ini, Isnin 6 Oktober 2025.
Ini memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17, dan memberi kuasa kepada rakyat Sabah menggunakan hak demokrasi mereka untuk menentukan siapa yang akan memimpin mereka.
Keputusan ini mencerminkan komitmen kami terhadap demokrasi dan proses perlembagaan.
Sepanjang lima tahun yang lalu, kita telah bekerja dengan gigih untuk membawa perubahan dan pertumbuhan yang bermakna kepada negeri dan rakyatnya.
Melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang holistik dan inklusif, kami telah menetapkan Sabah pada landasan transformasi yang jelas sejak menerajui negeri ini pada September 2020.
Berpandukan tiga tonggak utamanya – Pertama, Pertanian, Industri dan Pelancongan, kedua, Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, dan ketiga, Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, pelan hala tuju ini telah mencapai kemajuan yang sebenar.
Kami mengambil langkah berani dan bertanggungjawab untuk menangani isu lama yang diwarisi terutamanya berkaitan bekalan air dan elektrik serta infrastruktur kritikal.
Tindakan konkrit dan beberapa projek besar sedang dijalankan untuk menyelesaikan cabaran yang diwarisi ini yang telah membebankan rakyat sejak sekian lama. Beberapa inisiatif telah disiapkan, sementara sebahagian yang lain sedang berjalan untuk disiapkan.
Dalam tempoh ini, Sabah telah mengukuhkan ekonominya, menarik pelaburan baharu untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meluaskan bantuan pendidikan dan meningkatkan kesejahteraan sosial semua lapisan masyarakat.
Pencapaian ini adalah hasil kepercayaan, sokongan dan visi bersama rakyat untuk Sabah yang lebih baik.
Namun, kerja kita belum selesai. Cabaran baharu menuntut penyelesaian yang berani, dan kita bersedia membawa Sabah ke lembaran seterusnya.
Dengan pembubaran ini, kami memohon mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan usaha yang telah kami mulakan – membina Sabah yang lebih kukuh, lebih makmur dan bersatu untuk semua.
Besar harapan saya agar keputusan pilihan raya kelak akan mengukuhkan suara rakyat, menjaga kestabilan dan keselamatan, serta memastikan kemajuan berterusan untuk Sabah tercinta.
Marilah kita bersama-sama, maju ke hadapan dengan penuh keyakinan dan tujuan.