
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan banyak isu yang dimainkan pembangkang ketika ini sengaja direkacipta untuk memperdaya rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Beliau berkata, pelbagai isu yang disebarkan melalui media sosial ketika ini menjadi antara cabaran besar dihadapi kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam usaha mengekalkan kedudukannya pada pilihan raya itu nanti.
Katanya, ia adalah dakyah dan propaganda yang digunakan pembangkang bagi menjejaskan reputasi GRS dengan niat untuk membuatkan rakyat percaya terhadap dakwaan mereka atas kepentingan politik.

Hajiji (tengah) dan Timbalan Presiden PGRS, Datuk Seri Masidi Manjun tiba di PAT PGRS 2025, SICC, Kota Kinabalu, hari ini.
“PRN17 membawa 1,001 cabaran kepada kita. Cabaran bukan kerana pembangkang kuat atau kita lemah, tetapi cabaran dalam berhadapan dengan pembohongan, kepalsuan, cerita-cerita rekaan dan paling besar, fitnah.
“Hari ini, media sosial menjadi medium paling popular untuk menyebar dakyah dan propaganda. Saban hari berbagai cerita, klip video dan infografik palsu disebar-luas.
“Inilah kaedah serangan pembangkang terhadap kita melalui dunia maya yang harus kita perangi habis-habisan! Jangan sampai pembohongan, penipuan dan fitnah berleluasa atau menguasai pilihan raya ini, sepertimana yang berlaku pada dua pilihan raya lalu.
“Isu-isu yang dimainkan tidak semuanya benar atau sahih! Banyak yang dibuat-buat dan direkacipta untuk memperdaya rakyat supaya rakyat percaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Persidangan Agung Tahunan (PAT) Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.
Ketegasan Ketua Menteri itu menjawab pelbagai tuduhan dan dakwaan yang dilempar atau dikaitkan dengan GRS serta pemimpinnya ketika PRN17 kini diambang pintu.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, perkara seperti itu boleh menimbulkan huru-hara politik yang tidak berkesudahan.
“Menyebar fitnah dan pembohongan adalah mainan politik kotor yang sangat kita kejam.
“Janganlah kita terikut-ikut dengan mainan kotor seperti itu, kerana ianya bukan sahaja satu kesalahan dan dosa besar tetapi parti yang menang kerana politik kotor, kerana fitnah dan pembohongan, pasti tidak akan bertahan lama, sebab lambat laun perkara sebenar akan terserlah juga,” katanya.
Dalam ucapan dasarnya, Hajiji menekankan bahawa banyak yang berjaya dicapai GRS sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, beramanah dan bekerja keras untuk membawa perubahan dan kemajuan kepada negeri dan rakyat.
Sepanjang lima tahun memimpin kerajaan, membina GRS dan disusuli pembentukan Gagasan Rakyat, katanya rakyat Sabah kini melihat ‘rumah’ yang dibina atas dasar perjuangan, keikhlasan, cita-cita dan aspirasi mereka sendiri.
Presiden Gagasan Rakyat itu berkata, walaupun parti pimpinannya itu masih setahun jagung tetapi ia didukung oleh pemimpin yang berpengalaman.
“Pendukung Gagasan Rakyat bukan calang-calang, mereka adalah pejuang yang masak dengan sepak terajang politik, pengalaman mereka bukan kepalang, tenang dan sabar menghadapi cabaran, jatuh bangun, tawa dan duka dalam mempertahankan prinsip dan maruah perjuangan.
“Sebagai ahli politik veteran, kita adalah pembela dan pejuang yang cukup berpengalaman! Perjuangan masa lalu, ditokok tambah lagi dengan perjuangan yang hebat dalam GRS dan Gagasan Rakyat, membentuk kita menjadi orang politik yang sarat dengan pengalaman, buah fikiran dan ilmu pengetahuan, ilmu berpolitik serta ilmu berkerajaan.
“Dengan hakikat itu, kita tidak lagi perlu merasa rendah diri atau segan silu dengan orang-orang politik di luar sana, khususnya golongan pembangkang dan mereka yang anti kerajaan, yang berlagak maha bijaksana,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata sebagai pendukung GRS yang mengetuai kerajaan, Gagasan Rakyat bersama parti lain komponen GRS, berjaya menyempurnakan tempoh pemerintahan selama satu penggal dengan pencapaian yang membanggakan.
Katanya, walaupun berdepan dengan cabaran dan tribulasi serta serangan berterusan pembangkang yang memperlekeh dan memperkecil usaha kerajaan dengan tuduhan kerajaan lemah dan tidak berwibawa, hakikat kejayaan yang dicapai GRS tidak boleh dinafikan.
Beliau berkata, jika cara itu tidak mencukupi untuk menggugat kestabilan atau menjatuhkan maruah pemimpin kerajaan, musuh politik menggunakan pendekatan lebih jahat dan kotor dengan menyebarkan dakyah, pembohongan dan fitnah.
“Saya sedar, bahawa ada pihak yang irihati dengan kita, mencemburui kejayaan dan pencapaian kita. Mereka ingin melihat kita lemah, berpecah-belah dan mereka juga ingin mengaibkan dan menjatuhkan maruah kita dengan pelbagai tuduhan, tohmahan dan fitnah yang disebar luas untuk memperdaya rakyat.
“Mereka tidak akan berhenti daripada menyebarkan segala dakyah dan pembohongan! Mereka adalah musuh kita, musuh yang ingin melihat kita lemah, jatuh dan kalah dalam pilihan raya, mereka tidak akan berhenti, malah akan terus membantai dan memperlekeh usaha dan kerja keras kita,” katanya.
Atas sebab itu, katanya ahli dan pemimpin GRS perlu berhati-hati dan berwaspada dengan gerakan sulit yang dijalankan secara halus untuk menjatuhkan pemimpin dan kerajaan.
“Saya percaya anda semua tahu apa yang saya maksudkan. Peringatan ikhlas daripada saya; kita jaga GRS ini sebaik-baiknya. GRS adalah rumah kita; rumah kita, kitalah yang menjaganya, kerana di sinilah tempat kita berteduh dan rumah tempat kita mengatur perjuangan,” katanya.
Deasoka