
KOTA KINABALU: Aktivis politik Pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah, mendakwa parti pembangkang terus menggunakan taktik fitnah dan naratif kebencian dalam usaha meraih kuasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Menurutnya, pengalaman lalu membuktikan kerajaan yang dibina atas modal fitnah tidak bertahan lama, sebagaimana yang berlaku kepada Parti Warisan selepas PRN-15.
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu tumbang bukan kerana prestasi yang lemah, sebaliknya akibat keampuhan fitnah dan naratif kebencian dimainkan pembangkang. Malangnya, kini Barisan Nasional (BN) Sabah pula dilihat sanggup bergabung secara berselindung dengan pihak yang pernah menumbangkan mereka dahulu hanya demi kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aksyah yang juga mantan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah berkata,
tular di media sosial perbualan aplikasi WhatsApp yang memaparkan perancangan strategi pemimpin utama Warisan bersama pengendali media siber upahan mereka.
“Perbincangan itu jelas menunjukkan usaha memanipulasi isu arwah Zara Qairina sebagai modal politik. Mereka mengakui kejayaan GRS, namun tetap menafikannya dengan terus memainkan naratif Kerajaan Gagal,” tegasnya.
Beliau turut menyelar tindakan segelintir jurucakap semasa himpunan aman Justice For Zara (J4Z) di Tawau baru-baru ini yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, termasuk cubaan membakar sentimen terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah.
“Kes ini wajar disiasat pihak polis dan individu terlibat mesti dihukum agar menjadi pengajaran. Sedihnya, hanya Institusi TYT Sabah yang direndah-rendahkan oleh rakyat negeri sendiri. Sungguh memalukan,” katanya.
Mengulas lanjut, Aksyah mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan permainan politik berasaskan fitnah yang menurutnya boleh menggadaikan keharmonian dan perpaduan di Sabah.
“Sejarah membuktikan kerajaan yang dibina atas fitnah tidak kekal lama. Warisan menjadi contoh, malah banyak kerajaan di dunia runtuh kerana permainan fitnah. Kita tidak mahu Sabah menjadi mangsa kerakusan politik pembangkang,” ujarnya.
Sebaliknya, Aksyah menegaskan, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan rakan-rakan dalam GRS memperoleh mandat rakyat pada PRN-16 tanpa menjanjikan perkara berlebihan.
“Selepas menang, Hajiji terus bekerja. Langkah awal beliau ialah memperkenalkan kembali slogan Sabah Maju Jaya sebagai wawasan bersama rakyat. Hasilnya, kadar pertumbuhan ekonomi meningkat, pendapatan negeri bertambah dan pembangunan infrastruktur diperkasakan, termasuk projek-projek sakit yang sekian lama terbengkalai,” katanya.
Tambah beliau, pelbagai inisiatif sosio-ekonomi yang digerakkan GRS dalam tempoh lima tahun lalu jelas membuktikan kerajaan negeri hari ini lebih cekap serta berkesan dalam melaksanakan agenda pembangunan.
Aksyah menegaskan, rakyat Sabah perlu bijak menilai antara kaca dan permata dalam menentukan masa depan negeri.
“Kita amat beruntung kerana GRS sebagai parti tempatan menjadi tonggak utama kerajaan Sabah hari ini. Jangan runtuhkan negeri ini hanya kerana termakan fitnah dan naratif kebencian yang sentiasa ditiupkan pembangkang,” katanya.