
TAWAU : Seorang wanita berusia 41 tahun cedera parah selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda dipandu lelaki dipercayai mabuk ketika sedang berlari bersama rakan di Batu 9, Jalan Apas, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.55 malam itu, Toyota Hilux yang dipandu lelaki berumur 57eari tahun melanggar bahagian belakang Perodua Alza dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh mangsa.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika kejadian mangsa sedang berlari dari Bandar Sri Indah menuju T2, Jalan Apas sebelum dirempuh.
“Mangsa kini dalam keadaan kritikal dan dirawat di hospital. Kedua-dua pemandu kenderaan tidak cedera,” katanya.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu Toyota Hilux terbabit memandu di bawah pengaruh alkohol dan telah ditahan. Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh hingga 10 tahun, denda RM50,000 hingga RM100,000 serta hilang kelayakan lesen memandu minimum 10 tahun jika sabit kesalahan.
ACP Jasmin turut menasihatkan orang ramai supaya mengelak berlari di atas jalan raya pada waktu malam kerana risiko kemalangan tinggi, sebaliknya memilih laluan jogging khas atau kawasan yang mempunyai pencahayaan mencukupi bagi menjamin keselamatan.