
LAHAD DATU, 18 Ogos 2025 – Kehadiran pelayar antarabangsa menerusi program Sail Malaysia Passage to the East 2025 ke Lahad Datu disifatkan sebagai simbol persahabatan melalui ekspedisi maritim, kata Pengerusi Persatuan Pelancongan Lahad Datu (PPLD), Joe Wong.
Sebagai tanda penghargaan, PPLD menganjurkan Lahad Datu Cultural Festival (LDCF) 2025 di W Bay, Pantai Payang, pada Ahad.
“Festival kebudayaan ini bukan sekadar majlis biasa, tetapi diraikan khas untuk menyambut peserta Sail Malaysia Passage to the East 2025. Ia menjadi simbol persahabatan serta semangat maritim antara pelayar dengan komuniti tempatan,” katanya.
Joe Wong berkata, pelayar yang hadir bukan sahaja sebagai tetamu, tetapi turut membawa kisah pengembaraan yang menghubungkan Lahad Datu dengan dunia luar.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) merangkap Pengerusi POIC Lahad Datu, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee.
Dalam ucapannya, Yong memuji usaha Joe Wong sebagai contoh anak tempatan yang berani membangunkan sektor pelancongan daerah ini. Beliau turut mengumumkan kelulusan Zon Perdagangan Bebas bernilai RM30 juta, projek tenaga solar 100 gigawatt dan pelaksanaan projek Pan Borneo yang dijangka melonjakkan Lahad Datu ke peringkat antarabangsa.
Acara berkenaan turut diserikan dengan unggun api, jamuan makan malam dan persembahan kebudayaan masyarakat tempatan.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan 23 kapal layar dengan 57 pelayar dari pelbagai negara termasuk United Kingdom, Jerman, Australia, Switzerland, Singapura, New Zealand, Perancis, Amerika Syarikat, Filipina, Kuwait dan Thailand.
Selepas Lahad Datu, para pelayar dijadualkan berlayar ke Kunak pada 19 Ogos dengan kawalan keselamatan oleh ESSCOM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Gerakan Marin (PGM).