
SANDAKAN: Pelaksanaan awal program subsidi petrol Budi 95 berjalan lancar apabila anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama menikmati kemudahan itu, hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, turun padang meninjau sendiri pelaksanaan hari pertama program berkenaan di Stesen Minyak Petronas Jalan Bokara, di sini.
Menurutnya, kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera menjadi penerima terawal subsidi berkenaan sebagai langkah ujian sistem sebelum ia diperluas kepada lebih 18 juta rakyat Malaysia bermula 30 September ini.
Beliau turut menyaksikan lima kaedah transaksi yang digunakan termasuk MyKad dan aplikasi Setel yang berfungsi tanpa sebarang masalah.
“Program Budi 95 ini didahulukan kepada polis dan tentera bertujuan untuk pertama, melihat sama ada sistem yang digunakan untuk pelaksanaan Budi 95 ini boleh berlaku prosesnya atau transaksinya dengan seamless, licin, lancar, tanpa sebarang masalah,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya memastikan MyKad masing-masing berfungsi bagi mengelakkan gangguan ketika membeli petrol nanti.
“Oleh kerana MyKad menjadi satu komponen penting untuk mengesahkan dan membezakan dia rakyat Malaysia atau tidak, maka saya menjangkakan gangguan bila pelaksanaan nanti adalah kalau seseorang itu pergi berurusan tiba-tiba MyChip dia rosak dan dia tak pernah sedar sebelum ini kerana dia beli tak perlu pakai MyKad sebelum ini. Sebab itu kita war-warkan lebih awal,” katanya.
Beliau menambah, pelaksanaan awal itu penting untuk menguji keupayaan sistem agar tiada gangguan berlaku apabila skim berkenaan dilaksanakan sepenuhnya kepada jutaan penerima menjelang hujung bulan ini.