
LAHAD DATU : Polis menahan lima individu dipercayai terbabit dalam aktiviti pelacuran selepas melancarkan Ops Noda di sebuah hotel sekitar jam 9.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata, mereka yang ditahan berusia 18 tahun terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.
“Siasatan awal mendapati kegiatan tidak bermoral itu dipercayai dijalankan sejak Mei 2025 dengan menggunakan aplikasi MiChat bagi mencari pelanggan. Bayaran dikenakan antara RM150 hingga RM300 bagi setiap langganan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut termasuk telefon pintar, kondom, resit hotel serta kunci bilik.
Kes disiasat di bawah Seksyen 372A/372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda atau sebatan, selain turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun serta sebatan sehingga enam kali jika sabit kesalahan.