
KENINGAU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menzahirkan kebimbangan terhadap kes sindiket pelacuran yang membabitkan pelajar sekolah di daerah ini, yang disifatkan sebagai ancaman besar terhadap keselamatan dan masa depan generasi muda.
Pengerusinya, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata perkembangan itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia mendedahkan bagaimana remaja kini semakin mudah terdedah kepada jenayah pemerdagangan orang dan eksploitasi seksual.
“Kes ini bukan sahaja mengejutkan, malah amat membimbangkan kerana ia memperlihatkan betapa rapuhnya benteng pertahanan sosial kita dalam melindungi anak-anak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau yang bertindak pantas menumpaskan sindiket terbabit serta menyelamatkan mangsa.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa tindakan tegas pihak berkuasa dan kerjasama erat masyarakat adalah kunci utama dalam membanteras jenayah seumpama ini,” jelasnya.
Namun, Yazid menegaskan, kes berkenaan perlu dijadikan peringatan jelas kepada ibu bapa agar lebih peka terhadap pergerakan, pergaulan serta penggunaan media sosial anak-anak.
Katanya, perubahan tingkah laku atau aktiviti mencurigakan tidak boleh sesekali dipandang remeh.
Beliau turut mengingatkan golongan pelajar supaya tidak mudah terpedaya dengan janji manis, tawaran pekerjaan atau ganjaran daripada individu tidak dikenali.
Dalam masa sama, Yazid menggesa
masyarakat menjadi “mata dan telinga” pihak berkuasa dengan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.
“Pihak sekolah dan institusi pendidikan juga wajar memperkukuh program kesedaran mengenai bahaya pemerdagangan orang serta jerat media sosial yang semakin berleluasa.
“Anak-anak adalah amanah dan masa depan negara. Sebarang bentuk kelalaian tidak boleh dimaafkan kerana ia memberi ruang kepada penjenayah mengambil kesempatan,” tegasnya
Yazid menegaskan tragedi seumpama ini tidak boleh berulang, justeru semua pihak perlu bersatu melindungi generasi muda daripada terus menjadi mangsa.
“Lindungi Anak Kita, Selamatkan Generasi Masa Depan,” katanya.