
KOTA KINABALU : Seorang pegawai tadbir Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas 30 pertuduhan menerima serta cuba memperoleh suapan berkaitan projek pembekalan dan perkhidmatan di bawah jabatan berkenaan.
Tertuduh, wanita berusia 49 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari 2022 hingga Oktober 2023 ketika bertugas di PNS, apabila secara langsung dan tidak langsung menerima wang daripada beberapa individu berkaitan kontraktor pembekalan.
Antara pertuduhan termasuk menerima wang tunai berjumlah lebih RM80,000 dipercayai sebagai balasan membantu dalam urusan pembekalan kepada jabatan tersebut.
Tertuduh, Normila, turut berdepan pertuduhan mendapatkan suapan bagi kepentingan sendiri dengan menyalahgunakan kedudukannya sebagai pegawai tadbir dalam proses pelantikan pembekal dan penyedia perkhidmatan.
Sebanyak 18 pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi. Manakala 12 lagi pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen (Khas Rasuah), Jason Juga.
Mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin tempatan serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sehingga kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi. Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 November depan.