LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Bin Dikun mengadakan lawatan kerja ke empat balai polis di daerah Lahad Datu bagi memastikan kesiapsiagaan anggota berada pada tahap tertinggi khususnya sepanjang musim kempen Pilihan Raya Negeri ke-17, hari ini ( Rabu).
Lawatan kerja tersebut melibatkan Balai Polis Tambisan, Desa Kencana, Cenderawasih dan Tungku.
Tujuan utama lawatan ialah meninjau kesiapsiagaan pegawai dan anggota dalam menjalankan tugas harian serta menghadapi kemungkinan tugasan di luar jangka bagi memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Dalam sidang media di Lahad Datu, beliau menegaskan bahawa sepanjang musim kempen Pilihan Raya ini PDRM komited untuk bertugas dengan penuh profesionalisme, neutral dan berintegriti.
“Kita tidak mahu ada di kalangan pegawai – pegawai dan anggota anggota ini bertugas memilih atau memihak kepada mana-mana pihak yang sedang berkempen. Kita memastikan bahawa mereka memberikan penugasan secara neutral sebagai seorang anggota penguatkuasa iaitu PDRM dan memastikan keselamatan semasa ke PRN pilihan raya ini.. PDRM memberi penugasan yang betul- betul tidak memihak kepada mana mana pihak yang sedang berkempen,katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa semua parti politik yang bertanding diberikan layanan sama rata termasuk aspek bantuan keselamatan dan kemudahan yang diperlukan.
Mengulas berhubung pengeluaran permit kempen, Datuk Jauteh menjelaskan bahawa semua parti yang bertanding perlu memohon permit melalui Ketua Polis Daerah bagi sebarang acara, perjumpaan atau perhimpunan.
Permohonan perlu dibuat oleh wakil parti sendiri dan boleh dimohon seawal pagi.
Menurutnya, sehingga semalam 1,140 permit telah dikeluarkan di seluruh Sabah kepada semua parti yang bertanding.
Beliau turut menyarankan supaya permohonan permit dibuat secara harian bagi mengelakkan perubahan masa dan lokasi yang boleh menyukarkan pemantauan oleh pihak polis.
Dalam perkembangan lain, Datuk Jauteh memaklumkan bahawa setakat beberapa hari tempoh kempen berlangsung sebanyak 17 laporan polis diterima tetapi tiada insiden serius direkodkan.
Dalam pada itu beliau merakamkan penghargaan kepada semua parti politik dan petugas kempen yang menunjukkan kerjasama baik serta profesionalisme tinggi sehingga keadaan keseluruhan di Sabah kekal terkawal.
Sementara itu bagi pengundi awal kebanyakannya petugas kerajaan supaya
keluar awal mengundi pada 25 November ini dan harus mematuhi
garis panduan keselamatan bagi memastikan proses undi awal berjalan lancar.
