
KENINGAU: Pusat Daerah Mengundi (PDM) STAR Keningau Station dengan tegas menolak sebarang andaian bahawa keputusan mereka kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dibuat secara peribadi atau individu.
Sebaliknya, keputusan itu dibuat secara kolektif melalui Mesyuarat Khas PDM yang dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa serta semua sayap parti — Wiramuda, Wiranita, Wiraemas dan Wiramaja — yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan semangat kekeluargaan.
Jurucakap PDM Keningau Station, Mazland Haji Abd Latif, menegaskan bahawa setiap ahli diberi ruang seluas-luasnya untuk menyuarakan pendapat tanpa tekanan daripada mana-mana pihak, termasuk Ketua PDM.
“Keputusan ini bukan keputusan peribadi atau dibuat oleh segelintir individu. Ia hasil perbincangan terbuka dan persetujuan sebulat suara semua ahli yang hadir,” katanya ketika mengulas dakwaan pemangku Ketua Bahagian STAR Bingkor, Robert Paulus, bahawa keputusan KDM itu dibuat oleh individu.
Menurut Mazland, keputusan untuk terus kekal bersama GRS mencerminkan komitmen dan kesetiaan seluruh ahli PDM Keningau Station terhadap kepimpinan negeri di bawah Hajiji.
“Kami sepakat untuk berdiri teguh bersama GRS kerana percaya kepada dasar-dasar pembangunan dan kestabilan politik yang dibawa oleh Ketua Menteri,” jelasnya.
Beliau turut memperjelas bahawa pendirian ini adalah khusus bagi PDM Keningau Station sahaja dan tidak mewakili keseluruhan Bahagian STAR Bingkor.
“Kami menghormati struktur dan hierarki parti. Keputusan ini dibuat dalam ruang lingkup PDM kami, dengan mengambil kira suara dan pandangan akar umbi,” tambahnya.
Mazland turut memuji kepimpinan Ketua PDM Keningau Station, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, yang menurutnya sentiasa mengamalkan prinsip kejujuran, keterbukaan dan musyawarah dalam setiap keputusan parti.
“Mesyuarat kami berjalan dengan tertib dan berhemah, tanpa sebarang pertikaian. Semua ahli diberikan ruang bersuara dan akhirnya mencapai kata sepakat dalam suasana penuh kekeluargaan,” ujarnya.
Menurutnya, sejurus selesai mesyuarat, Haji Yazid telah menghubungi Robert Paulus, untuk memaklumkan keputusan rasmi PDM Keningau Station kekal bersama GRS — satu tindakan yang disifatkan Mazland sebagai bukti kejujuran dan disiplin kepimpinan.
“Itulah kelebihan beliau — sentiasa menghormati saluran organisasi dan tidak membuat keputusan sewenang-wenangnya. Ini contoh kepimpinan berprinsip yang patut dicontohi,” katanya.
Mazland dalam masa sama mengucapkan tahniah kepada Robert Paulus atas pelantikan sebagai Pemangku Ketua Bahagian STAR Bingkor, selain merakamkan penghargaan kepada Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, atas ruang dan kepercayaan yang diberikan kepada semua ahli, berkhidmat dan terus bersama dalam keluar besar STAR Sabah.